Tujuh wanita sesat hampir 6 jam ditemui selamat
MIRI— Tujuh wanita diselamatkan bomba selepas tersesat ketika melakukan aktiviti beriadah di kawasan hutan Giam Waterfall, Kampung Bakam di sini pada Ahad.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, berkata kesemua mangsa dalam keadaan selamat di kaki bukit pada jam 8.40 malam seterusnya memulakan perasi membawa mangsa keluar ke PKB sedang dijalankan.
“Mereka selamat tiba di Pusat Kawalan Bencana (PKB) pada jam 10.15 malam dengan bantuan Pasukan Pelbagai Kemahiran (Must) serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.18 malam setelah memastikan dan memeriksa keadaan awal mangsa dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 3.10 petang. Usaha mencari dan menyelamat menghadapi cabaran berikutan masalah liputan dan ketiadaan internet.
Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu pihak polis dan orang kampung.
Gambar ihsan PGO Sarawak