TPM: Solidariti Palestin harus diterapkan unsur kedamaian dan keamanan, bukan kebencian dan ekstremism
Datuk Seri Fadillah disambut dengan persembahan tarian ketika menghadiri majlis di Bintulu hari ini. |
BINTULU: Minggu Solidariti Palestin harus dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan termasuk menerapkan semangat kedamaian, keamanan dan dipenuhi nilai-nilai kemanusiaan, bukannya semangat kebencian dan ekstremism, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Fadillah Yusof.
Jelasnya, kerajaan tidak menghalang program anjuran KPM di sekolah itu, namun pastikan ianya dijalankan secara aman dan menerapkan nilai-nilai murni demi keamanan sejagat, bukannya dipenuhi dengan sikap kebencian terhadap satu puak kepada puak yang lain.
"Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana harmoni dan berbilang kaum, selalu berbalik kepada apa yang dinyatakan dalam 5 Rukun Negara," jelasnya semasa ditemui sejurus selesai merasmikan Program Roadshow Tanaman Koko dan Demontrasi Coklat Buatan Tangan di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebaik-baiknya program yang berlangsung harus dilaksanakan dengan menitikberatkan keamanan manusia sejagat dan menekankan aspek sumbangan bagi membantu mangsa perang di Palestin.
"Justeru, saya menyeru semua pihak di peringkat sekolah yang mengikuti Minggu Solidariti Palestin ini agar menggelakkan dari menerapkan sebarang unsur provokasi yang boleh mencetuskan perasaan tidak senang dalam kalangan pihak lain kerana Malaysia merupakan negara berbilang bangsa dan agama," tegas beliau.
Harus semua pihak maklum, bahawa sekolah merupakan tempat bagi membina jati diri serta akhlak seseorang pelajar dari peringkat awal hingga tamat persekolahan sebelum melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi dan bukannya tempat bagi menerapkan fikiran mereka dengan semangat keganasan dan tidak sesuai dengan norma-norma kehidupan masyarakat berbilang kaum negara ini yang amat mementingkan aspek keharmonian serta keamanan manusia sejagat.