3 sahabat hilang dibawa arus di Sungai Batang Lassa
DARO— Kegembiraan empat sahabat mandi-manda di Sungai Batang Lassa, di sini bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka hilang dibawa arus petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Herodias Enggung, Aldrin Gambang Allan Kiai dan Sebastian Oziel Seman Umpi, kesemuanya berusia 13 tahun.
Manakala seorang lagi Robin Ngalang, 13, berjaya diselamatkan oleh remaja lelaki berusia 19 tahun yang berada di lokasi dan tidak berenang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 6.37 petang.
“Menurut saksi, keempat-empat remaja itu sedang leka mandi-manda apabila tiga daripada mereka di bawa arus.
“Ketika kejadian keadaan air surut, keruh dan arus deras kedalaman lebih kurang 5 meter di mana tempat terakhir mangsa dilihat.
“Saksi memberitahu dia tidak dapat menyelamatkan kesemua mangsa tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) digerakkan bersama polis dan APM dan penduduk kampung menggunakan sebuat bot.
Katanya, teknik pencarian dilakukan secara water surface searching menggunakan peralatan Grappling Iron di kawasan mangsa mandi.
Operasi ditangguhkan pada jam 7.45 malam.
Gambar PGO Sarawak