Tawar sim kad percuma, warga emas di kampung dibebani bil pasca bayar
KUCHING-- Seorang warga emas terkejut tiba-tiba datang bil pasca bayar telekomunikasi selepas terpedaya dengan tawaran sim kad percuma.
Menurut anak mangsa, ibunya yang sudah berusia diberikan sim kad percuma daripada individu dari sebuah syarikat telekomunikasi, Maxis yang datang ke rumah mereka tanpa penerangan lanjut tentang sim kad berkenaan.
Ibu mangsa dikatakan terpedaya dengan helah tersebut kerana diberikan secara percuma tanpa perlu bayaran.
"Ada lagi terkena Maxis buat hal. Ini kali kedua ibu terkena yang mana sebelum ini dipaksa membayar bil pasca bayar RM104.65.
"Sekarang bil yang sama datang lagi tetapi nombor telefon yang berlainan atas nama ibu," katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Jelasnya, ibunya sebelum ini diberi lima sim kad percuma daripada jurujual yang datang ke kampung mereka di Kuching.
"Sim kad tersebut tidak diguna selepas diberi tetapi tiba-tiba bil sampai ke rumah," tambahnya.
Sehubungan itu, dia meminta pihak Maxis memantau dan mengambil tindakan segera berhubung isu tersebut.
"Hati-hati bila ada orang datang ke rumah yang menawarkan sim kad percuma lebih-lebih lagi orang tua di rumah.
"Jangan kita terpedaya dengan tawaran sim kad percuma ini," tegasnya.