Syarikat penerbangan Sarawak utamakan rakyat

KUCHING— Syarikat penerbangan Sarawak akan mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat berbanding keuntungan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, keuntungan bukan matlamat utama kerana apa yang penting ialah dapat memberikan perkhidmatan dan manfaat menyeluruh kepada rakyat.

“Saya memberitahu (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa saya hanya memerlukan dua syarat untuk mengambil alih MASwings. Satu – tidak boleh terbang hanya di Borneo; ia mestilah serantau. Kedua, kita tidak boleh memberi terlalu banyak penekanan pada keuntungan.

“Sudah tentu, (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke berkata Sarawak banyak duit. Saya tidak mengatakan bahawa kita banyak duit, cukuplah caj yang dikenakan berpatutan dan dapat menampung kos, itu sahaja,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pengambilalihan saham dalam MASwings oleh Hornbill Skyways Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini, yang distrimkan menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak, hari ini.

Beliau menambah, syarikat penerbangan ini tidak akan menjadi syarikat penerbangan yang besar, sebaliknya hanya penerbangan butik yang menyediakan laluan serantau untuk jarak enam hingga tujuh jam.

“Selebihnya (yang jauh) kami serahkan kepada Malaysia Airlines untuk menyediakan perkhidmatan dan lalu tersebut,”

Abang Johari berkata, sejak awal lagi syarikat penerbangan Sarawak menggariskan visi untuk fokus penerbangan serantau dalam meningkatkan pengangkutan infrastruktur untuk Sabah dan Sarawak.

Beliau juga mempelawa Sabah untuk menyertai inisiatif ini dalam menyediakan perkhidmatan penting untuk negeri-negeri Borneo dan berusaha ke arah kebaikan semua rakyat Malaysia.

MASwings adalah syarikat penerbangan serantau yang mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak.

Syarikat berkenaan mengambil alih laluan yang dikendalikan oleh FlyAsianXpress dan penerbangan RAS oleh Malaysia Airlines pada 2007.

Pada 17 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan permohonan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi menangani masalah kos tiket penerbangan yang tinggi antara Semenanjung ke Sarawak dan Sabah.

Gambar arkib
Next Post Previous Post