Stevenson sedia tentang Iskandar di Jepak
KUCHING-- Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee tidak akan diberi laluan mudah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak apabila bakal ditentang Stevenson Joseph Sumbang.
Stevenson berusia 42 tahun akan bertanding dengan tiket Parti Bumi Kenyalang (PBK) pada PRK DUN Jepak pada 4 November depan.
Selain Stevenson, Iskandar juga akan berdepan seorang lagi calon Bebas Dr Raba'ah Tudin yang dilihat hadir di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Bintulu bagi sesi latihan simulasi.
"Isu yang sudah lama membelenggu penduduk Jepak dan belum selesai hingga kini adalah tanah hak adat Bumiputera (NCR), Pemakai Menoa Pulau Galau dan isu kewarganegaraan yang mana rakyat di sini sukar mendapatkan kad pengenalan diri," kata Stevenson ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Tambahnya jika diberi mandat oleh rakyat Jepak, beliau akan memastikan agenda pembangunan yang telah digariskannya akan diketengahkan.
"Saya ada agenda dan strategi saya sendiri lebih-lebih lagi untuk kawasan pesisir pantai dan pedalaman di Jepak ini," katanya.
Mengenai pengundi, beliau berharap pengundi di DUN Jepak memainkan peranan dan memilik dengan betul pada PRK itu kelak.
Kerusi Jepak kosong susulan kematian ADUN Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu. Talib yang memegang kerusi itu sejak 1996 dilantik semula pada 2021 dengan majoriti 4,243 undi.
Untuk rekod pada PRN 2021, Talib memenangi kerusi DUN Jepak selepas memperoleh 6,277 undi bagi menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Raba'ah Tudin (2,034), Stevenson (587) dan calon Bebas, Tuah Kazan (141).