Seni bina perlu selari perubahan iklim, Fadillah
KUALA LUMPUR— Seni bina bangunan dan infrastruktur harus mengutamakan kemampanan alam sekitar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Berucap pada sambutan 50 tahun Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), malam tadi, Fadillah berkata aspek ini amat penting kerana dunia kini berhadapan dengan cabaran cuaca ekstrem.
“Cabarannya ialah bagaimana kita hendak membina sebuah bangunan yang dapat diselarikan dengan alam sekitar dengan keadaan persekitaran dan keperluan untuk mesra kepada alam, manusia dan yang lebih utama lagi sektor pembangunan mampan alam bina.
“Dalam hal ini, wajar kita melihat semula gambaran besar dan meneliti kembali dasar-dasar yang berorientasikan masa depan demi membina negara bangsa,” katanya dipetik Malaysia Gazette.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menggesa Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) disaran menjadikan kemampanan alam sekitar sebagai agenda utama dalam apa sahaja bentuk projek pembinaannya.
Katanya, setiap jurubina perlu menghayati enam rukun utama Malaysia Madani yang mendokong teras pembangunan mampan alam bina iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan .
“Lembaga Arkitek Malaysia perlu sentiasa bersiap siaga menghadapi pelbagai cabaran demi melahirkan barisan ahli profesional yang berupaya, beriltizam dan cekap untuk membangunkan sebuah negara bangsa,” katanya.
“Ini sesuai dengan visi lembaga iaitu mengilhamkan kecemerlangan senibina, keunggulan profesional dan kepimpinan untuk meningkatkan kualiti kehidupan,” katanya.
Pada malam tersebut, Fadillah turut menyampaikan dua pengiktirafan iaitu pingat presiden Lembaga Arkitek Malaysia dan Anugerah Pendidikan Senibina.