Sarawak tetap gunakan Bahasa Inggeris dalam urusan rasmi

Dr Sim semasa Karnival Komuniti Kampung Kenyalang di Dewan Komuniti Kenyalang Park Jalan Chong Kiun Kong, di sini hari ini.

KUCHING— Sarawak tetap menggunakan Bahasa Inggeris selain Bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat berkaitan pentadbiran negeri, kata Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata, kerajaan negeri berpendirian tegas untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi selain bahasa kebangsaan kerana ia dibuat berlandaskan perkara yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu kami tegas menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam urusan di peringkat pentadbiran negeri. Perkara ini telah diwartakan sebelum ini,” katanya.

Dr Sim berkata demikian kepada wartawan pada Majlis Perasmian Karnival Komuniti Kampung Kenyalang di Dewan Komuniti Kenyalang Park Jalan Chong Kiun Kong, Kuching pada Khamis.

Tambahnya, sehingga ke hari ini beliau masih menggunakan Bahasa Inggeris untuk menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam urusan rasmi.

“Patutlah permohonan untuk pembinaan Pusat Jantung dan kanser kita lambat.

“Kami mahu mengekalkan pentingnya penguasaan Bahasa Inggeris. Saya harap Persekutuan memahami kerana saya masih mahu menulis surat dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Semalam, Anwar mengingatkan syarikat dan universiti tempatan untuk berhubung dengan agensi kerajaan dalam Bahasa Melayu dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Anwar berkata, mana-mana pihak yang menghantar surat rasmi yang tidak menggunakan Bahasa Melayu tidak akan dilayan dan akan dipulangkan semula.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, manakala kedudukan bahasa Melayu juga dinyatakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Ini bukan kali pertama Sarawak berpandangan bertentangan dengan kerajaan persekutuan dalam hal dasar berkaitan bahasa. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tahun lepas menegaskan perkhidmatan awam Sarawak akan terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi bersama dengan bahasa kebangsaan.

Katanya, langkah itu tidak bermakna Sarawak menentang dasar kebangsaan tetapi ia dibuat berlandaskan perkara dalam Perlembangaan Persekutuan.

Katanya, Sarawak harus praktikal dan mengakui kepentingan bahasa Inggeris sejajar dengan dasar ekonomi digital dan ekonomi sekular yang banyak istilah bahasa Inggeris tidak boleh ditukar ke bahasa kebangsaan.
Next Post Previous Post