Sarawak terus guna BI dalam surat rasmi

KUCHING— Peringatan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulangkan surat rasmi daripada syarikat tempatan atau institusi awam dan swasta yang tidak menggunakan bahasa Melayu (BM) hanya terpakai untuk Persekutuan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, Sarawak akan terus menerima surat-menyurat rasmi yang ditulis dalam bahasa Inggeris (BI) daripada syarikat tempatan atau institusi awam dan swasta.

“Sarawak berpendirian tidak berhasrat untuk mematuhi arahan hanya menggunakan bahasa Melayu (BM) dalam urusan surat-menyurat rasmi.

“Peringatan itu hanya terpakai untuk Persekutuan, tidak di Sarawak,” katanya dipetik Free Malaysia Today semalam.

Semalam, Perdana Menteri itu mengingatkan syarikat dan universiti tempatan untuk berhubung dengan agensi kerajaan dalam BM dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Anwar berkata, mana-mana pihak yang menghantar surat rasmi yang tidak menggunakan BM tidak akan dilayan dan akan dipulangkan semula.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, manakala kedudukan bahasa Melayu juga dinyatakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Ini bukan kali pertama Sarawak berpandangan bertentangan dengan kerajaan persekutuan dalam hal dasar berkaitan bahasa. 

Untuk rekod pada Jun 2022, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan perkhidmatan awam negeri akan terus menggunakan BI sebagai bahasa rasmi di samping bahasa kebangsaan – BM.

Sebelum itu, Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali pada 24 Mei lalu di mana beliau mahu jabatan perkhidmatan awam (JPA) melihat tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang tidak mengambil arahan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan secara serius.

Abang Johari berkata Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa penggunaan bahasa Inggeris dibenarkan untuk prosiding Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, atau untuk prosiding di Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan.

Kerajaan Sarawak juga telah mengambil pendirian sendiri dalam isu berkaitan bahasa yang menjadi perbalahan, seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk pelajar dari sekolah aliran Cina.

Pada 2015, kerajaan negeri di bawah ketua menteri ketika itu, mendiang Adenan Satem, memutuskan untuk mengiktiraf UEC.

Langkah itu membolehkan pemegang UEC memohon untuk menyertai perkhidmatan awam negeri, atau memohon pinjaman pendidikan atau biasiswa yang diberikan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, BI boleh digunakan dalam urusan surat-menyurat rasmi berkaitan pentadbiran negeri sebagai tambahan kepada BM.
Next Post Previous Post