Lorong khusus ART, tidak berkongsi jalan dengan pengguna jalan yang lain.
KUCHING— Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) dan EMG JV Sdn Bhd mengukuhkan lagi kerjasama bagi membangunkan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dengan memeterai Sijil Pematuhan (COC) baru-baru ini.
COC yang ditandatangani itu merupakan komitmen kedua-dua pihak dalam memacu merealisasikan aspirasi Sarawak dalam mentransformasikan pengangkutan awam yang lebih moden di bandar raya ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi Mazli Mustaffa mewakili pihak Sarawak Metro manakala EMG JV diwakili Pengarahnya, Chan Chee Kian.
Majlis menandatangani COC itu merupakan susulan penganugerahan kontrak pada Julai tahun lepas dan menandatangani Bon Pelaksanaan pada 20 Julai 2023.
EMG JV, usaha sama antara EPR (Kuching) Sdn Bhd, Mobilus Sdn Bhd dan Global Rail Sdn Bhd, merupakan kontraktor utama bagi Pakej Sistem 1 projek KUTS.
Kontrak itu melibatkan pembekalan 'rolling stock', iaitu kenderaan kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen, peralatan depoh dan kenderaan penyelenggaraan (DEMV), sistem isyarat dan kawalan (S&CS) dan pintu platform automatik (APG) yang telah dianugerahkan pada Julai tahun lalu.
Pada masa ini, EMG JV sedang menyelaraskan larian kejuruteraan dan peringkat 2 'Proof-of-Concept' (POC) untuk unit prototaip ART yang telah bermula pada 4 September.
Ujian kejuruteraan itu diadakan selama dua bulan dan akan berakhir pada Oktober, dan laluan itu adalah di sepanjang Jalan Keruing yang melepasi Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Ujian kejuruteraan adalah untuk memperhalusi spesifikasi unit ART dan untuk mengenal pasti sebarang isu yang berpotensi sebelum meneruskan latihan POC.
Ia juga untuk menilai dan menguji prestasi dan kefungsian kenderaan ART, melalui unit prototaip.
Peringkat 2 latihan POC akan dijalankan pada bulan November, untuk mengumpul data untuk menilai kebolehlaksanaan prototaip untuk reka bentuk akhir kenderaan ART.
Latihan POC akan dijalankan di laluan khas sepanjang 3 kilometer yang dibina antara dua bulatan di Kota Samarahan, di sepanjang Kuching-Samarahan Expressway.
Laluan ini akan membentuk satu bahagian lorong khusus tetap yang dibina untuk rangkaian 'KUTS project’s Blue Line'.
Peringkat 1 latihan POC telah dijalankan pada Mac tahun ini di kemudahan CRRC Zhuzhou Institute Co Ltd di wilayah Hunan, China. CRRC Zhuzhou Institute Co Ltd ialah pembangun prototaip kenderaan hidrogen ART.
Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah diamanahkan untuk melaksanakan, mengendali dan menyelenggara projek KUTS.
Kenderaan ART bebas karbon adalah tulang belakang Projek KUTS, projek yang dibiayai kerajaan Sarawak bertujuan untuk memodenkan sistem pengangkutan awam di Sarawak.
Projek KUTS akan dibangunkan secara berperingkat dan Fasa 1 adalah untuk pembangunan tiga laluan iaitu Biru, Merah dan Hijau.
Fasa 1 Projek KUTS dijadualkan mula beroperasi secara berperingkat, mulai suku keempat 2025.
Laluan Biru, meliputi jarak 27.5 kilometer (km), adalah dari Rembus di Kota Samarahan ke pusat bandar Kuching; Laluan Merah (12.3km) adalah dari Kuching Sentral ke Pending; dan Laluan Hijau (30km) dari Pending ke Damai Central.
Kenderaan ART akan dikendalikan di lorong khusus dan tidak akan berkongsi jalan dengan pengguna jalan yang lain.
Kenderaan ART menggunakan tayar getah dan oleh itu lorong khusus itu tidak menggunakan landasan.
Operasi ART akan disokong oleh rangkaian bas pengantara, yang juga akan menggunakan kenderaan berkuasa hidrogen untuk menawarkan sambungan 'batu pertama dan batu terakhir' untuk penumpang.
Langkah menggunakan hidrogen adalah menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memajukan ekonomi hidrogen dan untuk menyahkarbonisasi pengangkutan awam di negeri ini.
Selain daripada menguruskan perubahan iklim, langkah itu juga sebagai pemangkin dalam memajukan inisiatif Sarawak untuk menjadi kemajuan negeri menjelang 2030.