Sarawak Cadang Bina Bangunan, Tempatkan Pelajar Sarawak Di Kuala Lumpur

Premier Sarawak menandatangani buku pelawat sambil disaksikan dif-dif kenamaan yang lain.

BANGI -- Kerajaan Sarawak sedang mencari tapak yang sesuai untuk membina bangunan bagi menempatkan pelajar-pelajar Sarawak yang menuntut di sekitar Kuala Lumpur.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata pemilihan lokasi tersebut juga perlu mengambil kira akses kepada pengangkutan awam bagi memudahkan pelajar pergi ke universiti masing-masing.

Beberapa pelajar Sarawak di UKM tidak melepaskan peluang merakamkan gambar swafoto bersama Premier Sarawak.

Menurutnya, sebaik tapak sudah dikenalpasti, bangunan tersebut akan dibina menggunakan peruntukan yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

“Kita sedang mencari tapak yang sesuai di mana jaraknya tidak jauh dan juga pengangkutan awam. Jadi kosnya tidak mahal,” katanya dalam sesi soal jawab sempena program Berambeh Anak Sarawak yang diadakan di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi pada Rabu.

Premier Sarawak semasa sesi soal jawab sempena program Berambeh Anak Sarawak.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak, Naib Cancelor UKM  Profesor Dato' Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman serta dif-dif kenamaan yang lain.

Menjawab pertanyaan lain, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata kerajaan Sarawak akan meneliti cadangan untuk menaja pelajar fakulti perubatan di UKM.

Premier Sarawak menyampaikan Surat Geran Penyelidikan & Biasiswa Tahun 2023 kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Datuk Dr Mohamad (kiri) dan Profesor Dato' Dr. Mohd Ekhwan.

Katanya, beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk mengkaji implikasi kewangan dan kebolehlaksanaan kaedah tersebut di mana pelajar yang ditaja perlu kembali untuk berkhidmat di Sarawak selepas menamatkan pengajian mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Yayasan Sarawak juga menaja seramai 40 pelajar perubatan setiap tahun untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Ia bagi memenuhi keperluan doktor tempatan untuk berkhidmat di hospital mahupun klinik di seluruh Sarawak terutama di kawasan luar bandar. 

Salah seorang pelajar mengajukan soalan kepada Premier Sarawak.

Menyentuh perkara sama, beliau berkata Sarawak akan membina pusat kanser sendiri dengan kos lebih RM1 bilion yang dilengkapi dengan lebih 300 katil. 

“Kita akan membinanya dahulu menggunakan duit kita sendiri dan kerajaan persekutuan akan membayarnya kemudian.

“Ia sudah dipersetujui oleh kerajaan pusat,” tambah Premier Sarawak lagi.

Sejurus selepas sesi tersebut Premier Sarawak telah menyempurnakan Penganugerahan Surat Geran Penyelidikan & Biasiswa Tahun 2023. 

Credit Teks & Gambar : UKAS
Next Post Previous Post