RM70 juta tangani kempen anti minyak Eropah, Fadillah
KUALA LUMPUR--Kementerian Perladangan dan Komoditi menggunakan peruntukan RM70 juta bagi menangani serangan ke atas produk negara terutama kelapa sawit dari Eropah.
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah menangani serangan ini penting untuk meningkatkan jualan komoditi terutama produk sawit di rantau Eropah.
Timbalan Perdana Menteri itu menambah, Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) telah menyekat atau memberi sekatan kepada penjualan produk yang memberi kesan kepada sektor komoditi.
"Cabaran kita adalah bagaimana untuk tangani serangan ke atas komoditi kita khususnya sawit.
"Sawit adalah penyumbang utama dari aspek komoditi kepada pendapatan negara.
"Justeru peruntukan RM70 juta dalam Belanjawan 2024 ini akan digunakan untuk menangani serangan kempen antiminyak supaya hasil jualan sawit dapat ditingkatkan," kata pada sidang media di Parlimen pada Jumaat, lapor Berita Harian.
Selain itu, peruntukan tersebut turut memanfaatkan pekebun kecil persendirian melalui pemberian insentif untuk penanaman semula.
Katanya, ini memastikan penghasilan produk sawit berterusan
"Sebab kalau tidak, pokok sawit yang tua tidak dapat hasilan yang baik kepada negara," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 turut mengumumkan
peningkatan harga lantai getah dari RM2.70 kepada RM3 sekilogram.
"Mengenai pekebun kecil getah ini, saya kira ramai yang suka walaupun ada yang minta lebih (harga lantai getah), tapi akhirnya dari RM2.70 dinaikkan kepada RM3.
"Bersyukurlah untuk itu dulu dan kita akan meneruskan (usaha naikkan harga lantai getah). Kita sedar dalam usaha kerajaan untuk lakukan itu, tapi kita ada kekangan kewangan," katanya.