Remaja perempuan 17 tahun antara lima ditangkap bersama 42.2kg syabu di Kuching

KUCHING-- Polis Sarawak melakar kejayaan besar dalam Operasi Tapis Khas dengan rampasan 42.2 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta di sebuah hotel, di Jalan Nanas di sini dan menangkap lima individu termasuk remaja perempuan 17 tahun pada 12 Otkober lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak berkata, lima suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan berusia 17 hingga 22 tahun ditangkap antara jam 10.45 pagi hingga 2.20 petang pada 12 Oktober di Bintawa dan Stutong.

"Dalam tangkapan ini membawa rampasan 42.2 kilogram dadah disyaki syabu yang bernilai RM1.4 juta di sebuah hotel, di Jalan Nanas, Kuching," katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya, sebuah kereta Perodua Aruz dianggarkan bernilai RM50,000 telah disita.

Jelas Azman, salah seorang suspek yang ditangkap mempunyai dua
rekod dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan satu rekod jenayah di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Hudi Terbuka 1953.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 212,495 orang penagih.

Mengenai modus operandi katanya suspek memperolehi bekalan dadah dari rakan sejenayah di semenanjung Malaysia.

"Dadah dibawa masuk ke Kuching
menggunakan kapal terbang dan dadah ini adalah untuk pasaran di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang 
tidak kurang daripada lima belas sebatan," tegasnya.

Menurutnya lagi semua suspek kini ditahan reman selama 7 hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 13 hingga 20 Oktober 2023.

Mengenai Operasi Tapis Khas Siri 4/2023, Azman berkata, ia dijalankan dari 10 hingga 12 Oktober oleh PDRM Kontinjen Sarawak diterajui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak melibatkan 237 orang pegawai dan 
anggota polis.

Jelasnya, kawasan tumpuan adalah mobile pot/pot, pprt/ ppr/ perumahan, ladang dan perkampungan nelayan. 

Katanya, dalam operasi itu seramai 290 orang telah ditahan dan diperiksa dan daripada jumlah tersebut, seramai 278 orang iaitu 252 lelaki dan 26 perempuan, berusia 15 tahun hingga 63 tahun telah ditangkap atas pelbagai 
kesalahan melibatkan dadah. 

Menurutnya lagi, dalam operasi ini, sejumlah 42.5 kilogram pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM1,452,258.50 berjaya dirampas iaitu 42,498.16 gram syabu (methamphetamine) dan 2.65 gram ganja.

Selain itu, katanya tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana harta bernilai RM51,600 telah disita iaitu wang tunai berjumlah RM1,600 dan sebuah kereta Perodua Aruz bernilai RM50,000.

"Sepanjang Op Tapis Khas 1 hingga Op Tapis Khas 4 dijalankan dalam tempoh Januari, Februari, Julai dan Oktober 2023, seramai 1,332 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah. 

"Sejumlah 85.17 kilogram pelbagai jenis dadah dirampas sepanjang tempoh tersebut," ujarnya.

Oleh itu, beliau memberitahu PDRM Sarawak akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"PDRM berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka dan maklumat ini boleh disalurkan melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222," katanya.
Next Post Previous Post