Remaja 16 tahun maut motosikal hilang kawalan dan tercampak ke longkang
KOTA SAMARAHAN-- Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di hadapan Gereja St Francis di Kilometer 11, Jalan Datuk Mohd Musa di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Brodie Brangka berkata, dalam kejadian 1.30 pagi itu melibatkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
"Kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari arah Batu 7, Kota Sentosa hendak pulang ke rumah di Kampung Merdang, Kota Samarahan.
"Sampai di tempat kejadian dipercayai mangsa telah hilang kawalan semasa bergerak lurus dan telah melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri lalu penunggang motosikal tercampak ke dalam longkang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, akibat kemalangan itu, motosikal ditunggang mangsa terbabas dan terpelanting lebih kurang 50 meter dari tempat kemalangan.
"Manakala, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), akibat dari kecederaan yang parah pada bahagian kepala.," ujarnya.
Tegasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.