Purata gaji dan upah bulanan rakyat Sarawak masih di bawah RM3,000

PUTRAJAYA — Purata gaji dan upah bulanan rakyat Sarawak pada 2022 meningkat kepada RM2,976 berbanding RM2,825 pada 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Malah Sarawak di hadapan tujuh negeri lain yang mencatat purata gaji dan upah bawah RM3,000 iaitu Sabah yang mencatat RM2,972, Pahang (RM2,897), Perlis (2,777), Perak (RM2,739), Kedah (RM2,659), Terengganu (RM2,657) diikuti Kelantan (RM2,653).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh rakyat Malaysia pada 2022 meningkat sebanyak 5.8% kepada RM3,212 berbanding RM3,037 pada 2021.

Daripada jumlah keseluruhan penduduk bekeria seramai 15.39 juta orang yang direkodkan pada tahun lalu, jumlah pekerja sepenuh masa yang dibayar gaji dan upah dalam kalangan rakyat
Malaysia adalah seramai 9.95 juta orang.

“Purata bulanan bagi kawasan bandar dan luar bandar merekodkan peningkatan kepada RM3,351 bagi kawasan bandar dan RM2,393 bagi kawasan luar bandar berbanding 2021.

“Secara spesifik, purata gaji dan upah bulanan bagi kawasan bandar mencatatkan peningkatan sebanyak 5.1%, manakala kawasan luar bandar menunjukkan kenaikan yang lebih ketara secara relatif sebanyak 10.5%,” katanya dalam satu kenyataan Statistik Gaji & Upah, Malaysia, 2022 yang diterbitkan DOSM semalam.

Statistik ini disusun berdasarkan Survei Gaji & Upah yang dijalankan oleh DOSM menggunakan pendekatan isi rumah bagi mengukur gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja sepenuh masa atau yang setaraf dalam kalangan warganegara Malaysia yang bekerja di sektor awam dan swasta berdasarkan pekerjaan utama mereka.

Daripada jumlah keseluruhan penduduk bekerja seramai 15.39 juta orang yang direkodkan pada tahun lalu, jumlah pekerja sepenuh masa yang dibayar gaji dan upah dalam kalangan rakyat Malaysia adalah seramai 9.95 juta orang.

Mengikut negeri, katanya purata gaji dan upah bulanan menunjukkan bahawa Putrajaya merekodkan purata tertinggi iaitu pada RM4,666.

"Selain itu, empat negeri lain juga melebihi paras purata nasional pada RM3,212, iaitu Kuala Lumpur (RM4,207), Selangor (RM3,737), Labuan (RM3,418) dan Pulau Pinang (RM3,313),”katanya.

Sementara itu, penengah gaji dan upah bulanan pekerja di negara ini berada pada RM2,424, meningkat 7.7 peratus daripada RM2,250 tahun lalu.

Keadaan ini juga menunjukkan separuh atau 50 peratus daripada pekerja warganegara sepenuh masa di negara ini menerima gaji dan upah di bawah RM2,424.

Katanya, kerajaan telah meningkatkan paras gaji minimum kepada RM1,500 bermula Mei 2022, yang mewartakan gaji bulanan sebanyak RM1,500 untuk pekerja di semua sektor, sebagai langkah yang dijangka akan meningkatkan paras gaji dan upah secara keseluruhan di negara ini berbanding tahun-tahun sebelumnya

“Pada 2022, ekonomi global berdepan cabaran yang ketara, termasuk gangguan rantaian bekalan, lonjakan harga komoditi, krisis tenaga, dan kadar inflasi yang tinggi sebelum menyederhana pada suku tahun keempat.

“Walaupun berdepan dengan krisis ini, Malaysia mencatatkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang memberangsangkan, dengan kenaikan sebanyak 8.7 peratus, didorong oleh prestasi kukuh dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, yang menyumbang sebanyak 82.4 peratus kepada KDNK negara,” katanya.
Next Post Previous Post