Pura-pura pengsan, pakai niqab elak ditangkap

Gambar kredit Jabatan Imigresen
Pura-pura pengsan elak ditangkap pihak berkuasa

KUALA LUMPUR— Berpura-pura pengsan serta memakai niqab, antara helah pengemis warga asing di sekitar Bukit Bintang bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa. 

Malah terdapat warga asing dikesan menyamar sebagai seorang wanita muslim selain menggunakan kanak-kanak bagi meraih simpati orang ramai untuk mendapatkan wang.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) , Datuk Ruslin Jusoh berkata, namun taktik tersebut berjaya dipatahkan pada 1 Oktober lalu dengan penahanan lapan orang warga asing berumur di antara lapan bulan sehingga 78 tahun dalam operasi yang bermula pada jam 6 petang itu.

Beliau berkata, operasi ini dijalankan berikutan daripada aduan awam dan pemantauan JIM ke atas kegiatan mengemis yang melibatkan warga asing di sekitar kawasan itu. 

“Mereka terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan warganegara China, tiga orang perempuan warganegara Pakistan, seorang perempuan warganegara Jordan, seorang kanak-kanak perempuan warga Pakistan dan seorang kanak-kanak lelaki warganegara Jordan. 

“Salah seorang warga asing yang diperiksa telah membuat provokasi dengan berpura-pura mengalami kesakitan dan pengsan serta cuba untuk melarikan diri apabila pegawai operasi bertindak untuk membantu.

“Selain daripada itu, seorang perempuan warganegara China dikesan menyamar sebagai seorang wanita muslim dengan memakai niqab untuk menutup identiti sebenarnya yang bukan seorang muslim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tiada dokumen pengenalan dan tinggal lebih masa. 

Katanya, kesemua mereka yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Seramai 18 orang Pegawai Imigresen daripada Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya terlibat dalam melaksanakan operasi ini.

Orang ramai juga dipohon supaya terus menyalurkan maklumat tentang kegiatan warga asing yang menyalahi undang-undang negara supaya tindakan yang pantas dan tegas dapat diambil.



Next Post Previous Post