Projek TB RPHK bernilai RM1.7 juta ransang semula pengeluaran koko di Sarawak

BINTULU: Permintaan yang tinggi terhadap bekalan biji koko dijangka meningkat dalam pasaran dunia ekoran kekurangan bekalan biji koko dunia pada masa sekarang, kata Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadillah Yusof.

Bagi tujuan ini jelasnya, pengusaha tanaman koko tempatan khususnya di Sarawak harus mengaktifkan semula tanaman koko yang mereka usahakan sebelum ini kerana komoditi terbabit kerana mampu memberikan pulangan lumayan buat setiap pengusahanya.

Untuk makluman, pada tahun ini, LKM melaksanakan projek pembangunan Tanaman Baru Ransangan Pengeluaran Hasil Koko (TB RPHK) seluas 80 hektar di negeri ini sedang giat dilaksanakan di di Serian, Sibu dan Kapit dengan kos RM1.7 juta, melibatkan 70 orang petani koko.

"Selain daripada potensi permintaan biji koko yang tinggi, penanam koko turut dapat meningkatkan pendapatan kerana harga koko kini dijangka akan meningkat berikutan kekurangan bekalan biji koko dunia," jelasnya semasa berucap dalam Roadshow Tanaman Koko dan Demontrasi Coklat Buatan Tangan yang diadakan bertempat di Bangunan Martabat Bintulu, hari ini.

Buat makluman semua jelasnya, harga biji koko kering kini adalah lebih daripada RM11sekilogram berbanding harga purata tahun lalu sekitar RM8 sekilogram.

Petani koko yang mengeluarkan biji koko premium iaitu yang berkualiti tinggi akan mendapat hasil jualan di antara RM18 sehingga RM22 sekilogram.

"Bagi tujuan itu, Lembaga Koko Malaysia (LKM) akan membantu dari segi pembelian dan penjualan biji koko melalui Koperasi Kluster Koko Sarawak yang berpejabat di LKM Kota Samarahan," jelas Fadillah.

Beliau berkata, keluasan tanaman koko negara adalah seluas 5,985 hektar dan daripada jumlah tersebut 24.3 peratus atau 1,454 hektar adalah diusahakan di Sarawak yang tertumpu di kawasan Kota Samarahan dan Sarikei. 

Sebagai rekod jelasnya, bilangan petani koko di Sarawak adalah seramai 1,290 orang manakala bilangan petani koko di Bintulu adalah seramai 16 orang dengan keluasan 11 hektar. 

"Pembangunan tanaman koko di Bintulu bermula sejak RMK8 (2001-2005) yang mana sedikit masa lalu, Sungai Asap Belaga merupakan kawasan tanaman koko utama dan diharapkan kawasan tanaman koko di Bintulu akan dapat diaktifkan semula," ujar beliau lagi.

Gambar Kredit UKAS
Next Post Previous Post