Program PLKN 3.0 diteruskan di kem tentera

KUALA LUMPUR— Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan kaedah latihan yang baharu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelatih akan menjalani latihan di kem tentera selama 45 hari berbanding tiga bulan sebelum ini.

“Sebelum ini PLKN diadakan seperti kem musim panas, mengambil masa yang lama dan sudah tentu menelan belanja yang besar.

“Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN dan Jemaah Menteri pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu.

“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang bertanyakan adakah kerajaan mempertimbang cadangan pelaksanaan semula PLKN sebagai satu inisiatif di bawah kementerian.

Mohamad menambah, sebanyak 13 kem wataniah seluruh negara akan digunakan dan satu kem Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang boleh menampung 4,000 orang untuk setahun.

“Melalui kaedah yang baharu ini, Program PLKN hanya membelanjakan sebanyak RM100 juta sahaja berbanding sebelum ini boleh mencecah RM500 juta setahun.

Beliau menambah, penjimatan dapat dilakukan kerana menggunakan kem dan tentera sebagai pengajar dan jurulatih.
Next Post Previous Post