PRK DUN Jepak: Iskandar tekad teruskan legasi Allahyarham Talib
BINTULU-- Calon GPS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi DUN Jepak, Iskandar Turkee bertekad akan meneruskan legasi Allahyarham Datuk Talib Zulpilip dalam memajukan kawasan tersebut meskipun menyifatkan ia satu tugas yang berat yang telah diamanahkan kepadanya.
Jelasnya, dengan pengalaman yang ada sebagai bekas pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dan pernah bersama-sama Allahyarham Talib menganjurkan program di Jepak, menjadi bekalan untuk beliau memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di situ kelak.
"Saya amat berterima kasih kepada Premier Sarawak yang juga Presiden PBB dan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan barisan kepimpinan GPS kerana telah mencalonkan saya bagi kerusi DUN Jepak dalam PRK ini.
"Oleh itu, saya akan meneruskan legasi Allahyarham Datuk Talib bagi memastikan hasrat yang diinginkan oleh Allahyarham untuk membangunkan Jepak ini akan dapat dicapai," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Susulan pengumumannya sebagai calon DUN Jepak, Iskandar memberitahu, langkah awalnya adalah bertemu dengan semua ahli parti di ranting-ranting untuk bersuai kenal.
Pada masa sama katanya, merangka strategi untuk menerus legasi dan mencapai apa yang ditetapkan oleh Allahyarham untuk kawasan tersebut.
"Insya-Allah kami yakin dapat meneruskan legasi tersebut dengan sokongan semua pihak hingga ke akar umbi, ia boleh dicapai.
"Berdasarkan pengalaman banyak berurusan dengan isu sosial, ada kelebihan mana-mana isu kita boleh lakukan langkah awal dari segi pencegahan, intervensi dan seterusnya membantu supaya tidak terbiar.
"Saya rasa kerajaan dan agensi-agensi, jabatan telah menetapkan cuma kita perlu lakukan jangkauan dengan masyarakat yang perlukan bantuan dan untuk ini saya akan mengadaptasi yang bersesuaian dengan isu-isu di Jepak," katanya.
Dalam pada itu, Iskandar mengakui ada hubungan kekeluargaan dengan Allahyarham Talib dan itu menjadi kelebihan untuknya menganjurkan program-program bersama di kawasan tersebut sebelum ini.
Jelasnya, pencalonannya itu juga satu penghormatan bagi dirinya dan harapan keluarga arwah juga agar legasi ini diteruskan.
"Jadi kita teruskan, insya-Allah jika kita berjaya melakukan arwah akan puas hati yang mana legasi kita boleh tunaikan," katanya.
Menyentuh tentang majoriti besar seperti dicapai Allahyarham, Iskandar menjelaskan terdapat tambahan jumlah pengundi dari golongan muda.
Sehubungan itu, beliau bersama jentera parti akan mendekati golongan tersebut agar suara dan hasrat mereka dapat dibawa kepada kerajaan.
"Kita akan menyantuni mereka dan akan mengadakan program bersesuaian dengan jiwa dan minat mereka," katanya.
Untuk rekod, Iskandar telah berkhidmat 15 tahun dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sebelumnya sebagai pegawai di agensi kerajaan Sarawak.