Polis sahkan video lelaki dipukul, diacukan senapang kes lama

Tangkap layar dari video yang tular di media sosial

PADAWAN— Polis mengesahkan video yang memaparkan lelaki dipukul dan diacukan senapang adalah kes lama dan suspek telah dituduh di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata lelaki yang dipukul dalam video tersebut merupakan suspek kes kecurian besi di sebuah kedai di Jalan Stephen Yong pada 25 Ogos lalu.

“Suspek ditahan oleh orang awam dengan bantuan seorang pengawal keselamatan.

“Kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan kertas siasatan yang lengkap telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Abang Zainal menambah, suspek telah dituduh pada 1 September 2023 atas kesalahan kes curi di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi tanpa pengesahan polis.

 “Jangan membuat spekulasi yang boleh menimbulkan panik dan kekeliruan pada orang ramai,” katanya.
Next Post Previous Post