Pesakit tunggu doktor dari jam 8 pagi, doktor masuk kerja 9.45 pagi
KUCHING-- Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen terkejut mendapat aduan orang awam tentang kelewatan seorang doktor yang bertugas di poliklinik di Kota Sentosa yang masuk kerja pada jam 9.45 pagi tadi.
Jelasnya, disebabkan itu pesakit terpaksa menunggu berjam-jam dari pukul 8 pagi tadi.
"Saya dimaklumkan oleh orang awam pagi tadi mengenai doktor yang bertugas di Poliklinik Kota Sentosa yang datang ke klinik pada jam 9.45 pagi tadi.
"Ramai pesakit terpaksa menunggu di poliklinik tersebut sejak 8 pagi tadi dan terpaksa menunggu lebih lama kerana kesesakan kehadiran pesakit di situ," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Chong yang juga Pengerusi PH Sarawak meminta Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memberi penjelasan tentang masalah tersebut.
"Saya masih di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke Sarawak selepas persidangan Parlimen semalam.
"Sebaik sahaja menerima aduan ini, saya telah meminta pembantu saya, Sim Kiat Leng dan Jordan Soo untuk bertemu dengan pihak pengurusan poliklinik berkenaan," ujarnya.