Penduduk Kuala Tatau minta padang bola, perpustakaan dan padang futsal

BINTULU-- Anak muda di Kuala Tatau mendambakan perubahan besar di kawasan tersebut daripada wakil rakyat yang akan dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak 4 November ini.

Umi Nazatul Syuhadah Narudin berkata, antara perubahan itu pembaikan padang bola sepak Kuala Tatau, cadangan mewujudkan perpustakaan dan tambah baik padang futsal selain pembinaan kawasan riadah.

"Kuala Tatau ini besar kerana terdapat empat buah kampung di kawasan ini iaitu Kampung Haji Ismail, Kampung Hilir, Kampung Nour Iman dan Kampung Seberang Jaya tetapi belum ada lagi perpustakaan untuk dijadikan tempat untuk belia dan pelajar membuat rujukan, buat kerja sekolah dan kelas online," katanya

Selain itu, Umi Nazatul berkata, keadaan padang bola sepak di situ amat menyediakan dan sering dilanda banjir setiap kali hujan.

Jelasnya, masalah itu sudah diajukan oleh ketua kampung di situ kepada pihak berkaitan namun hingga kini tiada tindakan diambil untuk membaik pulih padang berkenaan.

"Saiz padang bola ini juga tidak sesuai untuk dijadikan venue pertandingan bola sepak kerana kecil.

"Jika padang bola sepak ini dapat ditambah baik ia tidak akan menjadi tempat kosong dan terbaik dan boleh digunakan oleh pihak sekolah untuk menganjurkan hari sukan sekolah selain digunakan oleh komuniti setempat," tambahnya.

Pada masa sama dia turut berkongsi keadaan padang futsal yang telah "taman bunga" setelah "ditelan" semak samun akibat terbiar.

"Anak-anak muda tidak dapat menggunakan padang futsal ini kerana keadaan padangnya licin dan bersemak samun.

"Kalau boleh dinaik taraf dengan bumbung dan lampu agar padang futsal ini boleh digunakan oleh anak-anak belia di sini," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa anak muda di kawasan tersebut menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada 4 November ini bagi menentukan masa depan rakyat di Jepak.

Difahamkan Kuala Tatau merupakan kampung kelahiran arwah Datuk Talib Zulpilip.
Next Post Previous Post