Pemuda reka cerita motosikal dicuri di jambatan Bintawa ditangkap
KUCHING-- Padah reka cerita mendakwa motosikal hilang dicuri, seorang pemuda ditangkap polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, pemuda berusia 20 tahun itu ditangkap kerana membuat laporan palsu mendakwa motosikal dicuri di jambatan Bintawa.
"Pada 16 Oktober 2023 jam 5 petang suspek mendakwa motosikal milik datuknya telah hilang dicuri oleh orang di jambatan Bintawa.
"Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati suspek hanya mereka-reka cerita kerana motosikal tersebut sebenarnya telah ditinggalkan di kawasan parkir di sebuah rumah ibadat di Jalan Lumba Kuda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, tegasnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu sehingga memberikan gambaran negatif berlakunya kejadian jenayah di daerah Kuching.
"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang berbuat demikian," tegasnya.