Pembangunan infrastruktur di sempadan Malaysia Timur lewat berbanding Kalimantan

KUALA LUMPUR— Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pembangunan dan naik taraf infrastruktur di Sarawak dan Sabah agak lewat berbanding dengan Kalimantan di Indonesia.

Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM1 bilion untuk menaik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

“Saya setuju kita terlewat berbanding Indonesia yang sudah maju. Kalau di Kalimantan, mereka lebih baik dan kita agak lewat.

“Kelewatan itu antara lain disebabkan peruntukan RM1 bilion bagi pembangunan infrastruktur asas dan keselamatan di situ baru sahaja diluluskan tahun ini selain penangguhan kerja-kerja naik taraf.

“Justeru, kementerian bertanggungjawab sudah diarahkan menyegerakan proses ini memandangkan peruntukan RM1 bilion sudah diluluskan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) mengenai peruntukan RM1 bilion berkenaan yang belum diberikan sepenuhnya bagi pembangunan dan naik taraf prasarana di sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, termasuk CIQS dan jalan raya, yang menyebabkan pembangunan di kawasan itu terbantut, berbanding Indonesia.

Menteri Kewangan itu menambah, beliau sudah meminta Timbalan Menteri 2, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk membantu menyelaraskan khusus untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak, iaitu Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan RM1 bilion untuk sempadan.

Anwar berkata sembilan projek sempadan diluluskan di Sarawak dengan kos projek RM88.2 juta untuk dimulakan segera.

Beliau berkata, sehingga tempoh pelan Pusingan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM14.35 kepada Sarawak, manakala RP3 2023 yang diluluskan berjumlah RM5.7 bilion.
Next Post Previous Post