Pemandu pikap maut tercampak
LAWAS— Seorang lelaki maut akibat tercampak selepas pikap yang dipandunya merempuh pokok di tepi jalan lalu terbabas di Jalan Gaya Lawas tengah hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim berkata mangsa dikenali sebagai James John Albert, 38 tahun, disahkan maut semasa mendapatkan rawatan di Hospital Lawas.
Jelas Azman sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang jauhnya satu kilometer dari balai sebaik menerima panggilan jam 12.20 tengah hari.
Menurutnya ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke bandar Lawas.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kenderaan dan berdasarkan maklumat saksi kejadian, kenderaan dipandu mangsa melanggar pokok ditepi jalan dan menyebabkan kenderaan tersebut terbabas di tepi jalan.
“Mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan terbaring berhampiran dengan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Azman lagi pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudianya segera melakukan rawatan awal kepada mangsa terlebih dahulu dengan memasang Cervical Collar serta bantuan pernafasan sebelum menghantar mangsa menggunakan Jentera EMRS ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Lawas.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik mendapatkan rawatan di hospital.