Pelajar IPTA dan pesara guru mangsa penipuan e-Dagang di Limbang

LIMBANG -- Terperdaya dengan iklan jualan telefon murah berharga RM500 di laman sosial Facebook, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) rugi RM4,791 dalam kejadian yang berlaku Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata mangsa 22 tahun antara mangsa penipuan e-Dagang di daerah ini.

“Pada hari yang sama juga seorang lagi pesara guru berusia 58 tahun mengalami kerugian RM 1,500 kerana mempercayai iklan jualan motosikal lelong yang murah berharga RM 500 melalui iklan di Facebook.

“Kedua- dua mangsa terbabit diperdaya untuk membuat pembelian ke atas telefon bimbit dan motosikal tersebut disebabkan harga yang ditawarkan didalam iklan adalah jauh lebih murah daripada harga dipasaran,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran itu jelasnya kedua-dua mangsa telah membuat satu laporan polis setelah barang yang dibeli tidak diterima walaupun telah membuat bayaran lebih daripada harga yang ditawarkan sebelum ini.

Parum menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan yang menawarkan harga barangan yang terlalu murah daripada haraga dipasaran.

Katanya orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu nombor telefon dan akaun bank yang diberikan oleh penjual sama-ada terdapat rekod laporan Polis terhadap nombor telefon dan nombor akaun berkenaan melalui portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM), “katanya.

Bagi mereka yang mendapatkan nasihat ataupun menyalurkan maklumat berkenaan kes-kes jenayah komersil di daerah Limbang boleh menghubungi 085211466 sambungan 252 ataupun berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Limbang Insp. Johari bin Mudin di talian 019-8280895.
Next Post Previous Post