PDRM Limbang mohon kerjasama Brunei cari dua nelayan hilang

LIMBANG-Polis Limbang mendapatkan kerjasama dengan pihak Berkuasa Negara Brunei bagi mengesan kehilangan dua nelayan tempatan yang hilang di Kuala Limbang sejak Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata pihak Konsulat Brunei, Ketua Polis Brunei Muara dan Temburong juga telah dihubungi bagi perkongsian maklumat mengenai orang hilang itu. 

“Sehingga ini kita masih menunggu pengesahan dari pihak berkuasa Negara Brunei sama ada orang hilang ada ditangkap oleh pihak berkuasa Negara Brunei atau sebaliknya dan tiada penemuan setakat ini,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Parum berkata lagi selain Brunei, pihak berkuasa di sempadan Limbang, Lawas, Sipitang, Beaufort dan Wilayah Persekutuan Labuan turut dimaklumkan mengenai kes kehilangan mangsa.

Mengulas lanjut katanya operasi carilamat (SAR) dua nelayan yang hilang itu di lokasi penemuan bot mereka tidak dapat diteruskan kerana kawasan berkenaan merupakan perairan Negara Brunei.

Katanya kawasan itu juga adalah cetek dan hanya boleh dilalui semasa air pasang sahaja. 

Jelasnya penggunaan pesawat udara dan dron tidak dapat dibuat di lokasi memandangkan ianya merupakan perairan Negara Brunei.

Hamdanie Mustapa 39, dan rakannya Mohd Asrol Karim 37, dari Kampung Limpaku Pinang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak keluar untuk menangkap ikan jam 3 pagi Ahad lepas.

Penduduk kampung yang melakukan kerja pencarian berjaya menemui bot nelayan yang digunakan oleh mangsa di Kuala Limbang dalam keadaan karam di kawasan cetek berdekatan Pulau Siarau (Pulau Negara Brunei dan kawasan perairan Negara Brunei) sekitar jam 4 petang pada hari yang sama.- Borneo Network 

Gambar ihsan APM Sarawak
Next Post Previous Post