PBB tunjang kestabilan politik Sarawak dan Negara- Awang Tengah

BINTULU-- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) muncul sebagai parti terbesar, sekali gus menjadi tunggak kepada pentadbiran, pembangunan, perpaduan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata PBB menjadi kuat kerana kebijaksanaan pemimpin, kerjasama dan disiplin yang kuat di kalangan ahli-ahlinya.

"Pada pilihanraya 1987, parti kita berpecah. Namun, atas kesedaran dan komitmen ahli-ahli kita, parti ini berkembang dan menjadi tunggak kekuatan kerajaan Sarawak. 

"Kita bersyukur dengan kepimpinan YAB (Yang Amat Berhormat) Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang juga Presiden Parti telah dapat meneruskan kecemerlangan dalam parti dan tunggak kepada kejayaan kerajaan sehingga hari ini," katanya semasa Konvensyen PBB Utara di Dewan Suarah, di sini hari ini.

Tambah Awang Tengah, setelah Kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan kalah pada Pilihanraya Umum ke-14, YAB Premier mengambil langkah untuk keluar daripada BN dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

"Ini adalah keputusan yang sukar tetapi terbukti ia adalah keputusan yang tepat. 

"Pada Pilihan Raya Negeri ke-12, GPS telah memenangi 76 daripada 82 kerusi. Semua calon daripada parti kita PBB telah menang dengan bergaya. 

"Pada masa kerajaan Persekutuan diperintah oleh Pakatan Harapan, kita memutuskan untuk tidak bersama dengan Kerajaan Pakatan Harapan. 

"Tetapi kita bersyukur kita dapat terus bergerak maju ke hadapan walaupun banyak projek-projek yang telah diluluskan sebelum itu, dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan, termasuklah Jambatan Kemena," katanya.

Ulasnya lagi, keadaan politik di Semenanjung kelam-kabut, tidak stabil, tidak pernah dalam sejarah Malaysia sejak merdeka dalam tempoh kurang 1 penggal, tiga orang Perdana Menteri. 

"Namun, demi kepentingan negara, kita bersama dengan Kerajaan PN-BN dan Kerajaan Perpaduan sekarang. 

"Ini jelas menunjukkan bahawa kestabilan politik negara adalah bergantung kepada sokongan parti kita PBB dan GPS. 

"Oleh itu, kita harus memastikan parti kita ini kukuh supaya perjuangan kita untuk membela hak dan kepentingan masyarakat bumiputera khususnya dan seluruh rakyat Sarawak amnya akan dapat dipelihara dan diperjuangkan," katanya.
 
Tegas beliau lagi, kepimpinan pragmatik Premier telah berjaya meneruskan kecemerlangan dan beliau berjaya memperkasakan struktur ekonomi sedia ada kepada ekonomi digital dan sekarang menerokai ekonomi baharu seperti green economy, circular economy, hydrogen production, carbon capture & carbon storage (CCUS), carbon trading dan sustainable aviation fuel (SAF) daripada microalgae. 

"Sekarang minyak pun kita boleh tanam. Kita begitu kagum dengan kepimpinan YAB Premier kita yang inovatif dan futuristik. 

"Malah, YAB Premier dijemput untuk memberi kuliah di Holland, Jepun dan Singapura dan banyak lagi tempat yang meminta YAB untuk memberi ceramah dan baru-baru ini YAB Perdana Menteri Malaysia meminta YAB Premier kita untuk memberi taklimat kepada kabinet kerajaan persekutuan.

"Malahan YAB Perdana Menteri meminta YAB Premier memberi taklimat yang sama kepada kepimpinan dari negeri seluruh Malaysia. Ini menunjukkan bahawa kita sudah jauh ke depan dan menerajui pembangunan kelestarian ekonomi," katanya.

Menurutnya lagi, baru-baru ini Premier dinobatkan dengan anugerah tertinggi ’Eminent Person Award’ oleh World Innovation, Technology and Services Alliance’s di atas sumbangan cemerlang kepada transformasi teknologi yang dipelopori oleh beliau.
 
"Oleh itu, kita harus bersatu dan menyokong sepenuhnya kepimpinan YAB Premier kita demi untuk kemajuan dan kemakmuran kita bersama," ujarnya.  
Next Post Previous Post