PBB sudah ada calon di PRK DUN Jepak
BINTULU— Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah mengenal pasti calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Naib Presiden PBB, Datuk Sri Dr Stephen Rundi berkata, Presiden parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah mempunyai calon dijangka akan mengumumkan nama berkenaan dalam masa terdekat.
“PBB sudah ada calon yang dikenal pasti, kita tunggu keputusan kepimpinan parti.
“Mungkin nama calon tersebut akan diketahui semasa Konvensyen PBB yang diadakan di Bintulu pada 15 Oktober ini,” katanya dipetik The Borneo Post pada Khamis.
ADUN Kemena itu ditemui media selepas menghadiri mesyuarat membincangkan Konvensyen Khas PBB yang bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari.
"Calon itu sudah dikenal pasti oleh presiden parti. Orang tempatan, tetapi kita tidak tahu siapa. Banyak nama telah disebut tetapi akhirnya kita yakin presiden parti akan menentukan siapa yang terbaik untuk mewakili PBB di Jepak.
"Saya yakin calon ini akan dapat bekerjasama dengan saya. Saya memberi mandat kepada Premier untuk mengumumkan calon," katanya.
Dr Rundi berkata, beliau menjangkakan PBB dapat mengekalkan kerusi Jepak memandangkan ia kubu kuat parti itu sejak enam penggal lalu di bawah mendiang Datuk Talib Zulpilip.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 21 Oktober, undi awal (31 Oktober) manakala hari pengundian pada 4 November.
PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Talib 15 September lalu.