PBB-GPS jangan sindir PBK sebagai "parti nyamuk", sesiapa sahaja boleh bertanding dalam negara demokrasi
BINTULU -- Sindiran PBB-GPS yang secara terang-terangan mengatakan Parti Bumi Kenyalang (PBK) hanya sebagai "parti nyamuk" dilihat betapa angkuhnya parti dominan berkenaan terhadap parti lawan, kata Presidennya, Voon Lee Shan.
Menurutnya, sekiranya GPS benar-benar mendalami akan erti sebenar demokrasi, mereka tidak akan dengan sewenang-wenangnya melemparkan kata-kata atau sindiran sinis sedemikian.
"Semasa penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Jepak di Dewan Suarah Bintulu semalam beberapa pemimpin PBB dan GPS melemparkan penghinaan dengan menggelar PBK sebagai parti nyamuk dan menggesa PBK menarik diri daripada bertanding kerana ia membuang wang dan masa untuk bertanding," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Amat menyedihkan katanya apabila PBK dihina sebegitu oleh pemimpin tertinggi Sarawak.
"Beliau sepatutnya bersimpati dengan parti politik kecil seperti kita dan berjuang dalam pilihan raya sekaligus menyuburkan semangat demokrasi dalam kalangan rakyat di Sarawak," jelas Voon.
Jelasnya, GPS dengan kekuatan yang luar biasa dengan ahli yang cukup ramai pada semalam amat menggagumkan sebagai tanda sokongan terhadap parti dominan itu manakala ahli PBK hanya ada segelintir orang sahaja sebagai tanda sokongan terhadap calon iaitu Stevenson Joseph Sumbang di pusat penamaan calon.
Penghinaan ini katanya bukan sahaja terhadap parti, tetapi, juga terhadap pemimpin parti kita, ahli dan rakyat Sarawak.
"Saya menggesa ahli parti dan penyokong supaya bertenang dan menganggap ianya ianya satu dorongan untuk bekerja keras dalam PRK ini ini nanti," tegasnya.
Walaupun PBB dan GPS pada masa ini kuat tetapi dalam sistem demokrasi tiada apa yang mustahil, bahkan jika dilihat dari sejarah jatuh bangun sesebuah negara, Empayar Rom juga boleh runtuh.
Apa yang penting ujar beliau, jangan bersikap terlalu angkuh dan sombong.