OKU kelahiran Miri harap simpati di Malaya
MIRI— Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) kelahiran Miri yang hidup sebatang kara terpaksa mengharapkan simpati rumah kebajikan di Malaya selepas tiada satu pun kemudahan itu ditawarkan di negeri ini.
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, beliau berusaha mencari rumah kebajikan untuk menempatkan wanita yang dikenali sebagai Ah Fung namun gagal.
“Saya berusaha mencari rumah kebajikan untuk menempatkan Ah Fung malangnya, tak ada satu rumah kebajikan pun yang mampu menempatnya di Sarawak.
“Bila sudah tiada pilihan, saya terpaksa mencari bantuan sehingga ke Kuala Lumpur. Saya ziarah lebih 10 rumah kebajikan di sana dan akhirnya, sebuah rumah kebajikan sudi mengambil Ah Fung sepenuh masa di Petaling Jaya secara percuma,” katanya.
Beliau ketika dihubungi Borneo Network berharap kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan Persekutuan untuk menubuhkan satu pusat penempatan OKU di Miri secara percuma.
“Saya cadangkan kerajaan Sarawak menubuhkan pusat penempatan OKU terutama untuk kes seperti Ah Fung yang hidup sebatang kara,” katanya.
Menurut Chiew, wanita itu tidak dapat bercakap dan bertingkah laku seperti kanak-kanak akibat kerosakan saraf otak berpunca daripada demam panas teruk semasa kecil.
Ah Fung, 44, dijaga oleh ayah dan seorang adik lelaki, manakala si ibu meninggalkan keluarga mereka sejak Ah Fung kecil.
Selepas ayahnya meninggal dunia, Ah Fung terpaksa bergantung harap pada adiknya yang bekerja sebagai buruh. Malangnya adiknya itu juga meninggal dunia beberapa bulan lepas.
“Kehidupan Ah Fung selepas itu terumbang-ambing kerana tiada lagi tempat bergantung dan terpaksa mengharapkan belas ihsan simpati daripada rakan keluarga.
“Untuk beberapa bulan, saya tanggung segala kos sewa rumah, makanan, dan kelengkapan Ah Fung kira-kira RM3,400,” katanya.
Gambar Kredit FB Chiew Choon Man