MYAirline: 125,000 penumpang terjejas, rugi RM20 juta - Anthony Loke
KUALA LUMPUR— Seramai 125,000 penumpang terjejas selepas syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline mengantung operasi berkuat kuasa awal pagi ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata langkah sangat tidak bertanggungjawab oleh syarikat itu sudah mengakibatkan kerugian kira-kira RM20 juta yang ditanggung oleh penumpang, berdasarkan jualan tiket penerbangan sehingga Mac tahun depan.
"Sebanyak 125,000 tiket yang sudah dijual, namun masih belum berjalan atau terbang lagi. Dari segi nilai tiket ini, dianggarkan bernilai RM20 juta.
"MYAirline memberi jaminan untuk menunaikan kewajipan mereka kepada pengguna terjejas dan membuat bayaran balik kepada penumpang," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Anthony menambah, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sudah diminta menubuhkan satu pasukan petugas khas dalam perkara ini dan berhubung dengan pihak Bank Negara supaya mencari kaedah bagaimana semua penumpang yang terjejas ini mendapat bayaran balik.
"Kita faham kebanyakannya menggunakan kad kredit membeli tiket kapal terbang. Jadi, kita perlu kerjasama daripada Bank Negara untuk melihat mekanisme supaya mana-mana penumpang yang menggunakan kad kredit, dia akan terus dapat 'refund'," katanya.
Katanya, bagi yang tidak membeli tiket penerbangan menggunakan kad kredit, kementerian mahu bayaran balik dijelaskan secepat mungkin.
“MYAirline juga diarahkan menyediakan kaedah jelas untuk membuat pembayaran balik tiket penerbangan atas kerugian yang terpaksa ditanggung pelanggannya.
“Memandangkan MYAirline sudah memberhentikan operasinya secara mengejut, MAVCOM akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk menentukan status lesen perkhidmatan udara syarikat itu, yang sah sehingga 14 November tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meluahkan kekecewaan terhadap tindakan MyAirline yang menggantung operasi secara tergesa-gesa.
“Ramai penumpang tidak mengetahui dan mereka sudah pergi ke lapangan terbang. Sudah tentu, ini keadaan sangat tidak baik dan ramai tidak tahu, sekaligus beri kesan buruk kepada mereka,” katanya.
Anthony mendakwa sebaik syarikat itu memutuskan menghentikan operasinya awal pagi tadi, mereka terus 'menghilangkan' diri.
"Dia henti 6 pagi (tadi), bukan saja kapal tak terbang, malah kakitangan mereka tidak berada di lapangan terbang untuk memberikan sebarang maklumat. Tak ada wakil langsung MYAirline di lapangan terbang. Bagi saya ini satu tindakan amat tak bertanggungjawab," katanya menuntut MYAirline membuat permohonan maaf kepada penumpang terjejas.
Beliau berkata, syarikat penerbangan yang bertanggungjawab seharusnya tampil mengambil langkah yang wajar sekiranya berdepan sebarang masalah.
“Syarikat penerbangan yang bertanggungjawab seharusnya tampil mengambil langkah mitigasi sekiranya berdepan sebarang masalah.
"Kita ada tentukan status lesen mereka. Kita fahamkan, mereka mahu dapatkan pelabur baru. Sekiranya lesennya dibatalkan, tidak ada makna kepada syarikat ini.
“Sepatutnya dia datang berbincang dengan kita bukan ambil langkah tidak bertanggungjawab seperti ini. Tidak maklum kepada MAVCOM dan pihak berkuasa berkenaan pelan mitigasi, tiba-tiba dia henti operasi," katanya.