Minggu Solidariti Palestin tidak wajib, Chong

KUCHING-- Penganjuran Minggu Solidariti Palestin tidak wajib bagi sekolah di Sarawak, kata Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen.

Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying kepadanya pada hari ini selepas isu berkenaan dibangkitkan di Parlimen.

"Saya telah mendapat pengesahan daripada Timbalan Menteri Pendidikan bahawa program tersebut tidak wajib untuk sekolah-sekolah di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan pada 21 Oktober lalu mengisytiharkan 9 Oktober hingga 3 November sebagai Minggu Solidariti untuk Palestin dan mengarahkan semua sekolah di negara ini melakukan program menyokong Palestin.

Pengerusi DAP Sarawak itu menambah, arahan sedemikian telah menimbulkan kebimbangan besar di kalangan semua sektor di Sarawak.

"DAP Sarawak berpendirian bahawa Kementerian Pendidikan tidak seharusnya melibatkan pelajar sekolah dalam konflik politik antarabangsa Palestin dan Israel kerana konflik itu adalah isu yang sangat rumit. 

"Kemarahan dan kebencian biasanya dikaitkan dengan isu sedemikian. Ini bukan perkara yang kita mahu anak-anak kecil kita terlibat semasa zaman kanak-kanak mereka di sekolah," katanya.

Dalam dialog antara Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan semalam di Parlimen, Chong telah menjelaskan kebimbangan dan bantahan terhadap program seumpama itu dijalankan di sekolah-sekolah di Sarawak.

"Memandangkan kini sudah jelas bahawa program itu tidak diwajibkan kepada sekolah-sekolah di Sarawak, saya berharap pihak pengurusan sekolah-sekolah di Sarawak tidak akan merasa terpaksa dengan arahan untuk menganjurkan program tersebut.
Next Post Previous Post