Menyamar pegawai polis, saspek 7 rekod jenayah

LIMBANG- Lelaki yang ditahan selepas menyamar sebagai pegawai polis di sebuah rumah panjang di daerah ini Selasa lepas mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata suspek beralamat dari Lingga berusia 29 tahun itu ditahan ketika sedang bercuti di sebuah rumah panjang di kawasan Medamit.

Jelasnya suspek bukan saja menyamar sebagai pegawai narkotik, malah turut mereka cerita mengenai program yang akan dihadiri pemimpun di rumah panjang berkenaan.

“ Pegawai polis yang sedang melakukan program High Profile Policing (HPP) di kawasan berkenaan telah bertemu dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai narkotik dan mereka cerita mengenai satu program akan dihadiri pemimpin di rumah panjang itu.

“Selepas dimaklumkan perkara itu oleh suspek, polis telah membuat persiapan untuk mengatur penugasan anggota untuk melakukan jaga aman di lokasi pada masa tersebut.

“Bagaimanapun sebaik menerima maklumat program berkenaan tidak wujud dan suspek didapati bukan pegawai polis, dia diberkas susulan menyamar sebagai penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Kes akan disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam.

Beliau menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. 

“ Individu-individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil ke balai polis Limbang bagi menyalurkan maklumat atau boleh menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Shafiq Naim Mohd Shafri di talian 085-211466,”kata beliau lagi.- BN
Next Post Previous Post