Masalah Parit Jalan Simpang Tiga Sumbat Hingga Kini Tiada Tindakan-Violet

KUCHING-- Sudah dibuat aduan dan dikatakan akan dijalankan penyelenggaraan tetapi hingga kini masalah longkang tersumbat masih menghantui pengguna di laluan Jalan Simpang Tiga.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong Wui Wui menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengambil tindakan segera bagi menangani isu longkang tersumbat teruk di sepanjang Jalan Simpang Tiga (bersebelahan perhentian bas berhampiran The Spring Mall).

"Masalah ini menyebabkan air kumbahan melimpah ke permukaan jalan, mewujudkan keadaan licin yang amat berbahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya kepada penunggang motosikal.

"Jalan Simpang Tiga adalah jalan protokol tetapi sistem perparitan tidak mendapat penambahbaikan yang diperlukan selama ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama Violet berkara, beberapa bahagian dinding parit telah runtuh dan tiada sistem perparitan yang berkesan dibuat.

Jelasnya, keadaan ini menyebabkan parit di laluan berkenaan tersumbat teruk. 

"Dalam tempoh jangka panjang ini akan menyebabkan pengumpulan sampah dan sisa di dalam longkang sekali gus menyumbang kepada isu kebersihan," ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu lelehan saliran yang berminyak dan kotor yang melimpah ke arah jalan menyebabkan lumut tumbuh dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.  

Tegasnya lagi, keadaan jalan yang licin itu akan membahayakan pejalan kaki dan penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut.

"Tindakan segera perlu diambil oleh JKR Sarawak bagi menyelesaikan isu tersebut sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya telah melaporkan kepada JKR Sarawak pada 13 September 2023 sejurus selepas saya menerima maklum balas orang ramai berhubung perkara itu.  

"JKR Sarawak telah memberi maklum balas dengan memaklumkan bahawa pasukan mereka telah menerima aduan dan kerja pembaikan akan dijalankan," ujarnya.

Malangnya, katanya sehingga kini masalah itu berterusan dan tiada apia yang dilakukan untuk menyelesaikan isu tersebut.
Next Post Previous Post