Mahu wang segera, dapat percutian istimewa...
KOTA SAMARAHAN— Hasrat dua lelaki untuk menambah pendapatan dengan melakukan pecah rumah di Taman Belian, Kota Samarahan tidak kesampaian.
Sebaliknya, mereka berjaya memenangi pakej percutian jangkamasa panjang di mahligai impian dengan makan minum ditanggung sepenuhnya selepas tolak upah bekerja dalam tirai besi.
Berdasarkan perkongsian tular di Facebook semalam, suspek cuba memasuki salah sebuah kediaman di situ namun tindakan itu disedari oleh penduduk berhampiran yang yang kemudian menghubungi polis.
Suspek berjaya diberkas oleh pihak polis yang datang ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan. Turut dirampas beberapa peralatan yang digunakan suspek untuk kegiatan itu.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Brodie Brangka ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
“Dua suspek sudah ditahan dan sedang disiasat kerana cuba melakukan pecah rumah,” katanya.