Lopak air, kotor di Jalan Batu Kawa perlu diatasi segera-Michael Kong
KUCHING-- Keadaan Jalan Batu Kawa yang kerap mengalami takungan air selepas hujan dan kotor mendatangkan bahaya kepada pengguna perlu tindakan segera.
Sehubungan itu, Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Timbalab Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian mengatasi segera masalah tersebut.
"Beberapa kawasan di Jalan Batu Kawa kerap mengalami masalah lopak air yang berulang setiap kali hujan.
"Isu yang berterusan ini telah menjadi sangat serius yang berlanjutan sehingga kini yang mana ia menjejaskan keselamatan pengguna jalan di laluan tersebut.
"Malangnya, 'tangisan' orang ramai meminta pertolongan dan membuat aduan mengenai situasi bahaya ini kepada SUPP dan Dr Sim nampaknya tidak didengari," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Michael, banyak kemalangan maut telah berlaku di laluan berkenaan, terutamanya pada waktu malam apabila banyak kereta hilang kawalan, menjadikan masalah ini lebih serius.
Tambahnya, besar kemungkinan permukaan jalan yang tidak rata antara faktor penyumbang kepada kemalangan di situ.
"Isu ini memerlukan penyiasatan yang mendalam dengan segera.
"Sungguh mengecewakan dan membimbangkan bahawa perkara yang dihadapi, yang secara langsung memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan awam, masih tidak ditangani walaupun aduan berulang kali.
"Sebagai wakil yang bertanggungjawab, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa kebimbangan pengundi kita ditangani dengan berkesan dan cekap," tegasnya..
Sehubungan itu, katanya, DAP Sarawak mengambil inisiatif mengajukan isu kritikal itu kepada JKR Sarawak.
"Kita tekankan keperluan segera untuk tindakan diambil untuk mengatasi masalah ini bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
"Justeru, kami menggesa JKR Sarawak mengambil tindakan segera untuk menangani keadaan jalan raya yang bahaya di kawasan Jalan Batu Kawa ini," ujarnya.
Menurutnya lagi keselamatan dan kesejahteraan rakyat harus sentiasa menjadi perhatian utama, dan pihak berkuasa mesti bertindak pantas untuk mengurangkan potensi risiko kepada nyawa mereka.
"Kami menyeru Dr Sim dan pasukannya untuk lebih berusaha dalam perkara yang mendesak ini," katanya.