Lombong kripto: Penggunaan karan di Pujut naik 3 kali ganda

MIRI—Sarawak Energy kerugian kira-kira RM28,000 sebulan akibat kecurian elektrik untuk melombong mata wang digital kripto selepas polis Miri membongkar kegiatan itu di Pujut.

Aktiviti melombong bitcoin ini telah menyebabkan penggunaan elektrik di Pujut meningkat secara mengejut tiga kali ganda selain masalah gangguan bekalan elektrik kerap yang berlaku, kata Sarawak Energy dalam kenyataan semalam.

“Kecurian elektrik untuk perlombongan ini menyebabkan kami kerugian kira-kira RM28,000 sebulan akibat penggunaan tidak direkodkan.

“Namun kegiatan itu berjaya ditumpaskan oleh Bahagian Operasi dan Peruncitan Sarawak Energy, Syarikat SESCO Berhad dengan kerjasama polis baru-baru ini.

“Turut dirampas sebanyak 40 mesin pelayan di tingkat atas sebuah rumah kedai yang disambungkan secara haram menggunakan kabel pengetik terus,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, ejen hartanah yang bertanggungjawab turut hadir sebagai saksi.

Sabit kesalahan, mereka berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik, yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 dan/atau penjara maksimum lima tahun.
Next Post Previous Post