Lelaki hilang 3 hari ditemui mati terapung dalam longkang
MIRI-- Lelaki yang hilang di kawasan Hutan Desa Senadin sejak 3 hari lepas ditemukan mati terapung dalam longkang berhampiran Jalan Sena 1 awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mayat mangsa, Hafizan Sawal berusia 33 tahun ditemui oleh salah seorang ahli keluarga mangsa yang turut serta dalam usaha SAR pada jam 9 pagi dalam keadaan terapung dalam longkang iaitu pada jarak 1.5 kilometer dari PKB.
"Terdahulu, pasukan bomba telah memulakan usaha SAR pada hari keempat keempat di sekitar kawasan tapak perkuburan keramat pada jam 8.05 pagi tadi," ujarnya.
Anggota bomba kemudiannya bertindak mengangkat mangsa yang terapung di dalam longkang tersebut dengan menggunakan alat pengusung untuk dibawa ke tempat selamat.
Mangsa ujarnya dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM Lutong pada jam 9.38 pagi untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.39 pagi.
Mangsa telah hilang dari rumah dan kali terakhir dilihat melalui kamera litar tertutup jiran hadapan rumah pada jam 10.48 malam Khamis lepas.
Gambar BBP Lutong