Lelaki maut dibaham buaya
SRI AMAN: Seorang lelaki warga emas disambar buaya semasa sedang mengauk air di tebingan Sungai Skrang pagi tadi.
Maklumat yang diperoleh dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mengatakan, semasa kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Chaong Baringai berusia 67 tahun berasal dari Rumah Panjang Baloi sedang mengauk air ke dalam tong penyembur racun bagi digunakan menyembur racun sawah padi.
"Maklumat awal yang diperoleh mengatakan tiba-tiba isteri mangsa terdengar jeritan suaminya dan mendapati suaminya sudah disambar reptilia ganas berkenaan," ujarnya.
Sepasukan anggota dari BBP Betong bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 10.28 pagi.
Menurutnya, sampai di lokasi, komander operasi melaporkan beliau bersama anggotanya berjalan kaki sejauh 3 kilometer untuk sampai ke lokasi di mana mangsa disambar buaya.
Usaha pencarian pada hari pertama ini jelasnya dijalankan bersama-sama pasukan bomba dengan bantuan penduduk kampung seramai 31 orang dengan menggunakan 8 buah bot.
"Seramai 3 orang penduduk kampung turut melakukan selaman di tebing sungai dengan diawasi seramai 3 anggota PDRM," jelas beliau.
Setakat jam 2 petang tadi jelasnya, operasi pencarian masih dilakukan di kawasan Lubok Tekam yang merupakan lokasi tubuh mangsa dilepaskan dari mulut buaya terbabit.
Menurut penduduk kampung yang merupakan saksi kejadian, mangsa dikatakan berada di tebing sungai dan sedang mengisi air ke dalam tong penyembur racun yang digunakan untuk meracun rumput di kawasan sawit dan sawah padi.
Isteri mangsa yang berada tidak jauh dari mangsa melihat kejadian tersebut dan memberitahu bahawa terdapat seekor buaya telah menyambar suaminya dan membawa mangsa ke kawasan lubuk sungai pada anggaran jarak 200 meter ke hulu sungai tersebut.
Gambar PGO Sarawak