Lan Berambeh esok temukan lebih 6,000 anak Sarawak di Semenanjung
KUALA LUMPUR— Lebih 6,000 anak-anak Sarawak di Semenanjung akan berkampung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) esok bagi meraikan program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini turut meluangkan masa meninjau persiapan akhir LBAS edisi ke-14 itu.
“Lebih 6,000 anak Sarawak dijangka berambeh bersama pemimpin Sarawak esok.
“Pelbagai pameran dari agensi kerajaan dan swasta turut diadakan bertujuan membantu belia Sarawak dari segi peluang pekerjaan, pendidikan, biasiswa dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media di MITEC hari ini.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, LBAS turut menjadi pelantar kepada penuntut yang layak untuk mewakili Sarawak Volunteers.
“Antara pengisian LBAS ialah sesi townhall bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan sesi dialog pemimpin bersama siswa,” katanya.
Yang Dipertua Pehin Sri Tun Abdul Taib Mahmud turut dijangka hadir bagi Majlis Makan Malam Anak Sarawak.