Kos Bina semula Sekolah Usang RM33 juta sangat tinggi-Chong

KUALA LUMPUR-- Peruntukan untuk bina semula 11 sekolah usang di Sarawak yang menelan kos RM368 juta adalah sangat tinggi dan mengejutkan, kata Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen.

Pengerusi PH Sarawak itu berkata, daripada jumlah itu, RM33 juta digunakan untuk kos untuk membina semula sebuah sekolah.

"Kos bina semula 11 sekolah usang di Sarawak dengan menelan belanja RM368 juta adalah sangat tinggi dan itu adalah purata mengejutkan yang mana RM33 juta bagi setiap sekolah.

"Saya telah bertanyakan kepada Kementerian Pendidikan di Parlimen semasa sesi soal jawab mengenai justifikasi kos pembinaan yang begitu tinggi itu.

"Pada masa sama, saya menggesa Kementerian Pendidikan untuk memberikan anggaran terperinci kos untuk membina semula sekolah-sekolah ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, persoalan mengenai kemajuan pembaikan dan naik taraf sekolah usang di Sarawak dijawab hari ini di Parlimen selepas empat persoalan lain daripada Ahli-Ahli Parlimen.

Jelas Chong, dalam jawapan kementerian, Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying memberitahu Dewan Rakyat bahawa sejak 2016, sebanyak 375 projek bina semula sekolah usang di Sarawak telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan. 

Tambahnya, sehingga 30 September 2023, 235 daripada projek telah siap, 43 dalam pembinaan dan 97 di peringkat pra-pembinaan.

"Sebagai jawapan kepada soalan tambahan saya tentang mengapa sehingga kini, hanya 62 peratus (235/375) daripada projek yang diluluskan telah disiapkan, beliau mengaitkannya dengan ketersediaan dana dan keupayaan agensi pelaksana. 

"Setiap tahun, Kementerian Pendidikan telah membentangkan projek-projek untuk kelulusan Kementerian Pendidikan yang kemudiannya akan memutuskan bilangan projek bagi tahun tersebut berdasarkan faktor-faktor di atas.

"Memandangkan kerajaan persekutuan telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembinaan di bawah RM50 juta kepada Jabatan Kerja Raya Negeri, saya menggesa JKR Negeri menyegerakan pelaksanaan bina semula sekolah usang di negeri ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Chong memberitahu isu yang lebih penting yang harus dikaji semula oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Ekonomi ialah kos pembinaan projek-projek ini. 

Menurutnya, sekolah luar bandar bersaiz sederhana dengan kos pembinaan lebih RM30 juta bagi setiap sekolah adalah terlalu tinggi. 

"Sebagai perbandingan, SJKC dengan kapasiti 1,000 pelajar (sekolah bersaiz besar) boleh dibina oleh kontraktor yang dilantik oleh Lembaga Pengurusan Sekolah dengan harga kira-kira RM10 juta setiap satu. 

"Terdapat perbezaan yang terlalu besar dalam kos pembinaan antara kedua-duanya.

"Oleh itu, bagi memastikan wang pembayar cukai kita dapat digunakan dengan lebih baik dan dioptimumkan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kerja Raya harus bersama-sama menyemak kos pembinaan sekolah yang sangat tinggi ini supaya lebih banyak sekolah dapat dibina semula dengan jumlah peruntukan yang sama," tegasnya.
Next Post Previous Post