Kilang sorok 180 tan metrik beras disita
ALOR SETAR— Sebuah kilang beras di Kedah disita, selepas disyaki menyorok beras putih tempatan berjumlah 180 tan metrik dianggarkan bernilai RM405,000, menerusi Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dijalankan semalam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, pemeriksaan ke atas kilang itu mendapati, pemeriksaan mendapati beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.
“Pasukan Task Force Khas telah menyita BPT tersebut yang dianggarkan bernilai RM405,000.
“Di sini saya ingin memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan. KPKM dan anggota-anggota Task Force akan bertindak tegas terhadap sesiapa (individu atau syarikat) yang didapati melanggar peraturan sedia ada.
“Jangan mengambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin kecukupan bekalan makanan yang berpatutan untuk rakyat, bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih," kata Chan menerusi kenyataan di Facebook.
Chan menambah, ini merupakan sitaan pertama di bawah OP BPT dan lokasi serta nama syarikat belum dapat didedahkan supaya tidak mengganggu siasatan
Beliau berkata, kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626. Sekiranya didapati bersalah, kilang padi tersebut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 bagi kesalahan pertama dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras melalui notis secara bertulis boleh membatalkan atau menggantung lesen.