Kes lemas Sungai Pegalan, mangsa kedua ditemui terapung
KENINGAU—Selepas empat hari pencarian, seorang lagi kanak-kanak yang hilang selepas terjatuh di Sungai Pegalan berhampiran Kampung Lingkudau ditemukan lemas petang semalam.
Mangsa Arlina Jabar, 9, ditemui 13.55 kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh kira-kira pukul 6.15 petang, pada Isnin lalu.
Kakak Arlina iaitu Azila, 12, yang turut hilang ketika cuba menyelamatkan adiknya itu ditemui lemas pada Selasa lalu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemui oleh orang awam pada jarak 13.55 km dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Pasukan bomba segera ke lokasi kejadian untuk mengambil mangsa sebelum menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Mayat mangsa kedua kes lemas Sungai Pegalan di Keningau ditemukan jam 6.15 petang Khamis. Gambar ihsan Bomba |
“Pasukan Bomba bersama PDRM ke lokasi mangsa di Lubuk Lintong, 13.55 KM dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang Isnin lalu, Azila dan adiknya Arlina dipercayai bermain berhampiran tebing sungai berkenaan sebelum Arlina dikatakan terjatuh ke dalam sungai.
Kakaknya kemudian terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Arlina, namun kedua-duanya kemudian dilaporkan tenggelam.
Bantuan pencarian di Jawa Sembiling turut dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom pada jarak tiga kilometer menyusuri tebing sungai.