Kerajaan import getah untuk tampung permintaan domestik, TPM

KUALA LUMPUR— Malaysia masih perlu mengimport getah daripada negara-negara pengeluar kerana pengeluaran getah tempatan lebih rendah berbanding permintaan industri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, bagi tahun 2022, pengeluaran lateks negara hanya dapat menampung sekitar 4 peratus jumlah penggunaan domestik. 

“Pada tahun 2022, pengeluaran lateks negara hanya berjumlah 14,593 tan, sedangkan sektor pembuatan produk getah memerlukan 365,000 tan.

“Sehubungan itu kita kekalkan import kerana perlu memenuhi permintaan domestik, terutama bagi sektor pembuatan produk getah berasaskan lateks. 

“Meskipun pengeluaran lateks negara adalah rendah, namun eksport bagi produk hiliran berasaskan lateks seperti sarung tangan getah adalah tinggi dengan jumlah sebanyak RM21.302 billion bagi tahun 2022, iaitu 78 peratus daripada jumlah eksport produk getah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (Temerloh) yang meminta penjelasan mengapa kerajaan masih mengekalkan import getah dari Thailand, Vietnam dan Afrika.

Beliau menambah, selain itu bagi memenuhi permintaan pasaran eksport terutamanya getah kering.

“Pada tahun 2022, negara mengeluarkan getah skrap (cuplump) sebanyak 362,000 tan, namun permintaan eksport getah kering berjumlah hampir 1 juta tan.

“Sektor pemprosesan getah asli negara dengan anggaran kapasiti pengeluaran sebanyak 1.5 juta tan memerlukan bahan mentah bagi meneruskan operasi dan kekal berdaya saing,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (Temerloh) yang meminta penjelasan mengapa kerajaan masih mengekalkan import getah dari Thailand, Vietnam dan Afrika.

Mengenai harga lantai getah pada masa kini, kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengguna pakai istilah Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) iaitu merujuk kepada paras harga pengaktifan bagi pembayaran IPG kepada pekebun kecil. 

“Kerajaan juga dalam pembentangan belanjawan tahun 2024 telah bersetuju untuk menaikkan kadar Paras Harga Pengaktifan PHP IPG dari RM2.70 ke RM3.00 sekilogram. 

“Hal ini bermakna IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah sekerap (cuplump) kurang daripada RM3.00 sekilogram,” kata Fadillah.
Next Post Previous Post