Kelindan lori maut dalam kemalangan, pemandu alami kecederaan
BELAGA: Seorang warga emas lelaki yang merupakan kelindan sebuah lori sarat muatan batu maut selepas lori terbabit hilang kawalan lalu terbalik di Jalan Murum pada petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, mangsa yang dikenali sebagai Chua Peng Yam berusia 70 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan KKM yang menjalankan pemeriksaan ke atas beliau.
"Sepasukan anggota bomba dari BBP Belaga bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 1.48 petang bagi menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa," ujarnya.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi pada jam 3.24 petang, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan sebuah lori yang mana terdapat dua mangsa terlibat dalam kemalangan terbabit.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak membawa mangsa ke tempat yang selamat sementara menunggu bantuan dari pihak perubatan.
Pemandu lori ujarnya hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan KKM, manakala seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 5.20 petang.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Gambar PGO Sarawak