Kakak jatuh sungai cuba selamatkan adik ditemukan lemas
KENINGAU— Mayat kanak-kanak perempuan yang terjatuh semasa cuba menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam Sungai Pegalan berhampiran Kampung Lingkudau ditemukan pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, mayat mangsa berusia 12 tahun itu ditemukan pada pukul 11.36 pagi tadi oleh pasukan bomba dan penduduk kampung, namun adiknya belum ditemui.
“Mayat ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi kejadian dan 500 meter dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK).
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang berusia sembilan tahun masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan, Azila, 12, dan adiknya Arlina, 9, dipercayai bermain berhampiran tebing sungai berkenaan sebelum Arlina dikatakan terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian kira-kira 5 petang.
Kakaknya terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Arlina, namun kedua-duanya kemudian dilaporkan tenggelam.
Gambar Ihsan Bomba