Jaringan Jalan Raya Di Kampung Kuala Tatau Ditambah Baik

Barisan pemimpin mengambil gambar kenang-kenangan bersama penduduk kampung Kuala Tatau.

BINTULU—Jaringan jalan raya yang ada di Kampung Kuala Tatau ini akan ditambah baik berikutan peningkatan jumlah penduduk yang mencecah hampir 2,000 orang.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, jalan raya di empat kampung di bawah pentadbiran Kampung Kuala Tatau yang kini hanya berstatus penjalan kaki adalah sempit dan tidak sesuai lagi untuk menjadi penghubung buat masa kini. 

Jelas beliau, jalan raya yang sepanjang kira-kira empat kilometer (km) itu dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan menggunakan konkrit dan bukan jalan raya berturap mengikut piawaian yang ditetapkan. 

Datuk Ir. Aidel ketika ditemui media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Rumah Penghulu Kampung Kuala Tatau, Haliza Mudin.

"Pihak BDA telah mempunyai perancangan untuk membuat penurapan jalan. Saya sendiri akan menulis surat untuk mempercepatkan lagi proses tersebut untuk keselesaan semua penduduk di kempat-empat buah kampung yang ada di Kuala Tatau ini," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media dalam Majlis Perjumpaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Rumah Penghulu Kampung Kuala Tatau, Haliza Mudin di sini pada Rabu. 

Difahamkan perjumpaan itu bertujuan untuk menyantuni barisan KMKK di Kampung Kuala Tatau di samping mengambil maklum tentang isu-isu lain yang dihadapi oleh penduduk tempatan. 

Barisan Pemimpin yang hadir ke Majlis Perjumpaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Rumah Penghulu Kampung Kuala Tatau, Haliza Mudin. Dari kanan, Datuk Ir. Aidel , Datuk Dr Abdul Rahman dan Datuk Dr Ripin.

Antara pemimpin negeri yang hadir termasuk Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat. 

Turut hadir, Ketua Kampung Haji Ismail, Musa Saruji, Ketua Kampung Hilir, Sairi Bohari, Ketua Kampung Nour Iman, Ramli Tema dan Ketua Kampung Seberang Jaya Rozmiroz Masral.

Sumber UKAS
Next Post Previous Post