Jangan takutkan pelabur dengan politik kucar-kacir, Fadillah

PUTRAJAYA— Semua pihak dalam politik perlu menjaga kestabilan politk dengan memberikan pandangan membina bagi meningkatkan ekonomi termasuk menarik pelabur luar ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kestabilan politik adalah penting dalam usaha memastikan kedudukan ekonomi Malaysia kembali kukuh.

“Saranan dan harapan saya kepada semua tidak kira siapa pun dalam politik, pastikan kestabilan negara kita ini wujud supaya kalau kita nak berbahas dan berpolitik pastikan berpolitik berasaskan kepada pembangunan.

“Pelabur hanya datang kalau kita punyai dasar dan strategi yang jelas sudah pasti kestabilan politik. Kalau asyik bertukar kerajaan sudah pasti pelabur tidak akan datang,”katanya dalam sidang media selepas menghadiri Persidangan Biodiesel Ke-4 dan majlis pelancaran B100 di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, usaha memulihkan ekonomi bukan hanya bergantung kepada pelaburan negara malah keupayaan menarik minat pelaburan luar negara.

Katanya, pelabur hanya akan datang jika negara mempunyai dasar dan strategi negara yang jelas selain mempunyai kestabilan politik,” katanya.

Fadillah berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim semalam mengenai ada pihak tidak senang hati dan mahu memecahkan Kerajaan Perpaduan kerana cemburu dengan kekuatan gabungan itu.

Anwar berkata, ini kerana kerjasama melibatkan PH bersama Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah satu gabungan yang mantap.

Ketua Whip GPS itu berkata, GPS akan terus memberikan komitmen menyokong Kerajaan Perpaduan supaya ia kukuh dan stabil.

“Premier Sarawak  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sendiri beberapa kali menekankan bahawa apa yang kita mahukan ialah kerajaan yang stabil, kukuh yang akan meletakkan semula Malaysia ke landasan yang betul.

Katanya, pada sambutan Hari Malaysia di Kuching baru-baru ini, Premier memberikan komitmen bahawa GPS untuk memastikan kerajaan yang stabil dan kukuh.
Next Post Previous Post