Jangan bertembung masa kempen, PDRM
BINTULU— Semua calon yang terlibat dalam Pilhan Raya Kecil (PRK) Jepak diminta berbincang dengan ketua polis daerah Bintulu berhubung jadual kempen sebelum permit kebenaran dikeluarkan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, perbincangan ini bagi mengelakkan berlakunya pertembungan selain memastikan kempen dapat berlangsung dengan selamat.
“Saya nasihatkan calon untuk membuat perbincangan dengan KPD Bintulu untuk teruskan permohonan kempen sepanjang masa berkempen,” katanya hari ini.
Beliau pada masa yang sama menggesa pengguna media sosial agar tidak menyebarkan perkara yang tidak betul atau khabar angin di media sosial.
PRK Jepak kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Iskandar Turkee dari Gabungan Parti Sarawak (Gabungan Parti Sarawak), Stevenson Joseph Sumbang (Parti Bumi Kenyalang) dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi.
DUN Jepak mempunyai seramai 22,804 dengan majoriti pengundi adalah Melayu/Melanau.
PRK DUN Jepak diadakan selepas penyandang kerusi itu Datuk Talib Zulpilip, 72, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada 15 September lalu.